Solat Dhuha, Doa dan Cara Melaksanakannya
Sering kita lihat orang yang rezekinya melimpah-ruah membelanjakan kekayaan mereka ke jalan sesat dan mengingkari perintah Allah sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya makan rezeki yang baik dan jangan sesekali mengikut jejak syaitan.

Solat Dhuha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga.
Ruang Waktu dan Waktu Afdal
Sesuai dengan namanya Dhuha yang bermaksud pagi, jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fekah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing iaitu kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7:30 pagi hingga 1:00 tengah hari.
Waktu afdalnya adalah ketika sinar matahari kian panas. Berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam, Rasulullah s.a.w. menjelaskan:
“Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.”Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10:00 pagi hingga 1:00 tengah hari (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).
Cara Perlaksanaan
Jumlah rakaat solat Dhuha adalah 2, 4, 8 atau 12 rakaat. Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam.
“Ya Allah bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu , keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu". "Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh”
Dalam satu riwayat Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
1. http://www.alhikmahsj.com
2. http://nursyirah.wordpress.com
